Falsafah dan Matlamat Pendidikan Negara Dalam sistem pendidikan kebangsaan yang diamalkan sekarang, falsafah pedidikan tidak dinyatakan secara tersurat. Walau bagaimanapun, hasrat dan matlamat pendidikan negara telah dicerminkan dalam Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Dalam konteks pembangunan negara, sistem pendidikan kebangsaan ini dikaitkan pula dengan prinsip-prinsip Rukunegara. Keperluan untuk menyatakan Falsafah Pendidikan Negara secara tersurat telah lama disedari. Falsafah Pendidikan ini dapat menjadi cermin cita-cita dan keunggulan yang hendak diperjuangkan oleh rakyat negara ini. Selaras dengan hasrat dan cita-cita ini Falsafah Pendidikan Negara dipernyatakan seperti berikut: “ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.” Pernyataan falsafah ini menegaskan bahawa sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik, berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. Ini bermakna Falsafah Pendidikan Negera berhasrat untuk melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama. Berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pendidikan ialah ke arah melahirkan insan yang baik dan sempurna. Insan yang baik iani secara automatis menjadi warganegara Malaysia yang baik. Mereka ini hendaklah memiliki serta menghayati ciri-ciri yang berikut: percaya dan patuh kepada Tuhan; berilmu pengetahuan; berakhlak mulia; bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara; berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara; dan memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Huraian Falsafah Pendidikan Negara Memperkembangkan Potensi Individu Potensi ini ialah bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh seseorang individu semenjak ia dilahirkan. Bakat dan kebolehan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani dan emosi, dan jasmani yang merupakan anugerah Tuhan. Bakat-bakat ini perlu dicungkil, diperkembangkan dan dipertingkatkan secara berterusan. Menyeluruh dan Bersepadu Kesemua bakat dan kebolehan yang ada pada diri individu hendaklah dikembangkan secara optimum. Pengembangan itu pula hendaklah dilakukan zecara tergabung dan saling berkaitan di antara satu sama lain. Insan yang Seimbang dan Harmonis Manusia yang semiliki sahsiah yang sepadu apabila semua potensi dirinya dikembangkan secara selaras, menyeluruhdan harmonis. Ia menjadi insan yang sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi dengan tenang. Oleh kerana itu ia dapat menikmati ketenteraman dan ketenangan jiwa. Keseimbangan dan kesejahteraan yang dimiliki bukan sahaja bermanfaat pada dirinya, malahan ia tercermin dalam hubunganya dengan orang lain, dengan alam sekitaran dan dengan Maha Pencipta. Perhubungan-perhubungan ini tidak dihadkan oleh batas sempadan negaranya sahaja, malah ia menjangkau ke peringkat dunia dan antarabangsa. Unsur Intelek Unsur Intelek mengandungi aspek-aspek berikut: hikmah iaitu ilmu yang boleh membawa kepada kemakmuran; daya pemikiran yang kreatif dan inovatif; daya pemikiran yang logik dan analitis; ilmu yang bermanfaat. Unsur Rohani dan Emosi Unsur-unsur rohani dan emosi merangkumi aspek-aspek berikut : keyakinan terhadap Tuhan; kepercayaan beragama; kemantapan jiwa; penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat; berbudi pekerti mulia; berbakti dan berkorban Unsur Jasmani Ciri-ciri unsur jasmani ialah : kecergasan fizikal dan kesihatan diri; dapat menggunakan anggota dan tenaga fizikal sendiri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat. Kepercayaan dan Kepatuhan Kepada Tuhan Usaha-usaha ke arah ini dapat melahirkan individu yang yakin bahawa manusia dan alam tidak terjadi secara tersendiri tetapi ada Penciptanya. Keyakinan ini pula menguatkan kepercayaan bahawa hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan dan manusia dianjurkan mengkaji fenomena alam. Manusia juga dituntut memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam mentadbir dan memakmurkan alam. Rakyat Malaysia yang Berilmu Pengetahuan Masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan memiliki sikap suka membaca serta cintakan ilmu pengetahuan. Manusia yang memiliki sifat-sifat ini akan menggunakan ilmu tersebut untuk manfaat diri dan orang lain. Ini bermakna setiap individu mesti berusaha untuk menghayati prinsip pendidikan sepanjang hayat. Rakyat Malaysia yang Berakhlak Mulia Masyarakat Malaysia yang baik budi pekertinya memiliki tingkah laku yang sopan, berdisiplin dan bersepadu. Sifat-sifat mulia ini terbentuk dari dalam diri setiap rakyat. Sifat-sifat mulia ini juga mesti berteraskan ilmu, keyakinan dan amalan. Rakyat Malaysia yang Bertanggungjawab Masyarakat Malaysia yang berpegang teguh kepada amanah dan mempunyai tanggungjawab yang tinggi terhadap Tuhan, bangsa dan negara. Masyarakat ini adalah masyarakat yang produktif, bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah. Rakyat Malaysia yang Berkeupayaan Menikmati Kesejahteraan Diri Masyarakat Malaysia yang memiliki jiwa yang damai dan tenteram. Ini membolehkan setiap individu memperkembang dan memanfaatkan seluruh potensi dirinya bagi memenuhi keperluan sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Rakyat Malaysia yang Dapat Memberi Sumbangan Masyarakat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran bagi melahirkan tenaga manusia yang produktif, berinisiatif dan berinovatif untuk mentadbirkan alam. Masyarakat ini mampu menggunakan teknologi dengan cekap bagi mempertingkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan Negara. Keharmonian dan Kemakmuran Masyarakat dan Negara Masyarakat Malaysia yang mengamalkan sikap toleransi di antara satu sama lain, bekerjasama, hormat-menghormati dan mencapai perpaduan kaum. Dengan adanya perpaduan muncul keadaan yang aman, tenteram dan stabil. Suasana yang sihat dan positif membantu dan menjamin perkembangan ekonomi dan kemajuan di dalam semua bidang kehidupan